Musim haji telah tiba. Saya dengar rombongan pertama negara kita ke tanah suci telah pun berangkat pergi beberapa hari lepas. Pada ketika inilah perasaan kita sentiasa bercampur baur.
Yang ditinggalkan akan rasa sedih dan risau dengan pemergian orang tua walaupun seketika kerana gusar akan segala salah silap yang belum tentu sudah terhapus. Bagaimana jika ini adalah perpisahan buat selama-lamanya.
Yang berangkat pula berdebar-debar menanti kan saat waktu bila kali pertama melihat masjidil Haram dan lambaian Kaabah di hujung anak mata sendiri. Kesyukuran dan keinsyafan silih berganti merenung hari dan waktu silam akan dosa-dosa yang telah dipalitkan di sepanjang titian usia.

panduan-kesihatan-haji
Namun di sebalik keghairahan menunaikan tuntutan agama, adakah kita sudah benar-benar bersedia dari segi fizikal, mental dan spiritual. Saya tidak layak untuk membicarakan soal persediaan spiritual. Apa yang saya ingin kongsikan bersama di sini adalah penjagaan dalam soal kesihatan. Pada dasarnya beberapa bulan sebelum ke tanah suci seharusnya anda telah menjaga kesihatan dari segi melakukan senaman, mendapatkan rawatan akan segala jenis penyakit yang anda alami, minum air yang banyak serta menjaga pemakanan anda.
Setelah melakukan segala persediaan di atas, anda mungkin telah berjumpa doktor atas rawatan penyakit yang anda alami seperti darah tinggi, kencing manis, sakit jantung, lelah dan sebagainya. Jadi perkara di bawah ini mungkin boleh dijadikan panduan:
1. Dapatkan suntikan vaksin – semua bakal jemaah haji diwajibkan mendapat suntikan vaksin Anti Meninggococcal Meningitis iaitu “Meningococcal Quadrivalent Vaccine ACYW-135″. Meningitis ialah radang pada bahagian meninges iaitu selaput otak dan taraf tunjang yang disebabkan oleh jangkitan virus atau bakteria. Virus atau bakteria ini tersebar melalui udara atau sentuhan lansung dengan pembawa atau penghidap. Dari saluran pernafasan, ia memasuki saluran darah dan menyebabkan keracunan darah dan ke otak lalu menyebabkan meningitis. Suntikan ini harus diambil sekurang-kurangnya dua minggu sebelum berangkat ke Tanah Suci dan ianya melindungi selama 2 tahun.
2. Bawa bekal ubat – jika anda sedang dalam rawatan atas penyakit tertentu, pastikan anda membawa semua bekalan ubatan cukup untuk selama mana anda berada di tanah suci nanti. Jangan dengar kata orang atau kawan yang segala ubatan boleh didapati di klinik tanah suci. Ini kerana tiada sesiapa yang dapat menjangkakan apa yang bakal terjadi di sana.
3. Lakukanlah senaman ringan – seperti berjalan perlahan beberapa minit dan kemudian berjalan pantas dalam masa 15 minit sehari sebanyak 3 kali seminggu. Ini dapat meningkatkan stamina terutama jika anda berada di sana supaya mudah melakukan ibadah seperti tawaf,saie atau melontar di jamrat pada hari-hari tasyrik yang mengambil jarak kira-kita 8 kilometer pergi dan balik.
4. Jaga pemakanan – kerana pemakanan adalah sumber tenaga untuk hidup dan melakukan aktiviti-aktiviti seharian termasuklah bekerja dan beribadah. Selain tenaga, makanan juga dapat memastikan kesihatan terpelihara dan terhindar dari penyakit yang tidak diingini sewaktu melakukan ibadah di sana.
5. Banyak minum air kosong – keperluan minuman kepada badan adalah sekurang-kurangnya 8-10 gelas sehari. Jika di tanah suci, amalan minum air sangat dititik-beratkan kerana suhu yang panas serta udara yang kering akan menjadikan badan kita mengeluarkan peluh dan air pun hilang dari badan. Saya akan bercerita lagi mengenai kesan jika tidak atau kurang minum air di tanah suci dan penjagaan kesihatan lain yang lebih penting melalui pengalaman saya pada artikel akan datang.


Categories:
Tags:





Komen Terkini