
anak-meragam
Bagi sesiapa yang mempunyai anak di peringkat usia 2-5 tahun, situasi mengamuk atau meragam memang biasa kita alami. Ini kerana mengamuk adalah cara anak-anak kita melepaskan geram, meluahkan apa yang terbuku di hati dan cara untuk mereka mendapatkan sesuatu.
Anak meragam memang terlalu merungsingkan. Anak-anak akan teresak-esak menangis dan berteriak dengan sekuat hati. Mereka boleh bertindak membantingkan diri di lantai, berbaring atau menghempaskan badan ke dinding.
Keadaan kanak-kanak mengamuk boleh menjadi situasi yang memalukan, walaupun bagi ibubapa yang sudah berpengalaman. Namun bagaimanakah mereka mengatasi masalah ini?
Apa yang menyebabkan kanak-kanak meragam/mengamuk?
Ada beberapa situasi yang mencetuskan situasi meradang. Keadaan yang paling biasa sekali adalah marah dan perasaan kecewa. Kanak-kanak akan mula meragam apabila mereka rasa kecewa, samada kerana tidak dapat melakukan sesuatu atau tidak mampu memahami sesuatu mesej.
Sebenarnya kanak-kanak yang mahu membesar dengan bebas (independent) jika dihalang oleh ibubapa, akan berpotensi untuk mengamuk. Sebagai contoh, jika anak hendak berdiri sendiri dan kita pula cepat sangat nak membantunya, mereka mungkin akan kecewa dan mengamuk dengan tindakan kita itu.
Percaya atau tidak, kanak-kanak mungkin akan mengamuk untuk buat kita rasa marah dan mengelabah. Ini terutamanya jika anda pernah marah-marah dengan sikapnya sebelum ini.
Apa patut kita lakukan jika anak meragam/mengamuk?
Cara yang paling baik adalah dengan tidak memperdulikan dia untuk beberapa ketika. Anak-anak sebenarnya cuba untuk menarik perhatian atau cuba mengawal ibubapa bagi manfaat mereka dengan cara mengamuk. Jangan mengalah dan menurut saja kehendak anak jika dia mula meragam. Sebab apa?
Kerana ini akan memberi anak impression, yang dia akan dapat semua yang dia mahu bila dia meragam.
Bila anak anda sudah tenang dan tangisannya sudah reda, nasihatkan dia tentang sikapnya tadi. Tindakan ini memberi dua (2) kesan.
Pertama, ia akan mengembalikan semula hubungan dan perhatian anda sepanjang tempuh anak anda mengamuk tadi.
Kedua, ia akan mengajar anak anda bahawa tindakannya mengamuk dan meradang tidak akan membawa kebaikan dan itu adalah tingkahlaku yang tidak baik.
Jangan cuba untuk menenangkan anak yang sedang mengamuk kerana ini akan membuatkan suaranya bertambah kuat sebab dia fikir bahawa dia boleh mengambil kesempatan ke atas anda dengan cara mengamuk. Bahkan anda boleh biarkan dia menangis sepuas-pusanya hingga dia merasa letih untuk terus menangis.
Jika anda berada di tempat awam, anda boleh cuba membawa anak anda ke tempat lain yang lebih selamat untuk membiarkan dia dengan ragamnya beberapa minit sebelum menjadi tenang dengan sendirinya.
Antara alternatif lain untuk tidak memperdulikan tingkahlakunya, adalah dengan mengalihkan tumpuannya ke atas perkara lain. Kadang-kadang sebelum anak mengamuk, dia akan menunjukkan sifat-sifat seperti bom hendak meletup. Pada masa inilah kita alihkan perhatiannya jauh dari objek yang mencetuskan kemarahan. Ini kerana kanak-kanak mempunyai masa tumpuan yang pendek.
Setiap masa, cuba kawal kemarahan anda. Jika anda sendiri terlalu marah dan menengking-nengking, anda telah menunjukkan contoh kepada anak untuk mengulangi tabiat itu di lain masa.
Saya harap, artikel ini dapat membantu kita semua yang selama ini kononnya terlalu sayang kepada anak sehingga kita memberikan apa saja yang anak kehendaki walaupun kita tahu bahawa permintaannya itu tidak munasabah.


Categories:
Tags:





Sy sangat bersetuju dengan hujah yang dinyatakan oleh En. Den bagi mengawal dan menangani situasi anak meragam… tidak dinafikan, kanak-kanak sememangnya bijak untuk mempengaruhi ibu bapa dengan ragam mereka. Apa yang menyedihkan kini, terdapat 2 kategori ibu bapa yang tidak harus dicontohi di dalam situasi sebegini…Pertamanya adalah ibu bapa yang mengambil jalan mudah dengan memberikan apa sahaja kehendak anak-anak mereka semasa anak-anak meragam dgn alasan tidak mahu memanjangkan cerita atau tidak mempunyai masa untuk melayan karenah anak-anak…dan keduanya adalah ibu bapa yang mudah melenting dan amarah kepada anak-anak yang meragam dan memaksa kanak-kanak ini untuk mengikut kehendak mereka sebagai ibu bapa. Kedua-dua kaedah mengasuh kanak-kanak ini sgt lah tidak elok untuk dipraktikkan sebagai seorang ibu bapa kerana ia akan mempengaruhi pertumbuhan dan mentaliti kanak-kanak itu apabila sudah membesar….
wah, bernas sungguh pendapat tu..
time kasih tina!
x de anak lagi….:-)
tapi geram gak tgk budak2 yg meragam ni…haha